Sabtu, 18 Mei 2013

Budak punk kaki rayau jadi imam jemaah (di Kelantan)

Saya turut kagum dengan cerita yang disampaikan oleh abi dalam blog queachmad.com. Bagi saya, kalau di Kuala Lumpur, mungkin jumpa 1 dalam 5000 orang - kisah dua orang budak yang penampilannya sebagai punk tetapi mempunyai jatidiri Islam sebegitu sekali. Di luar kelihatannya punk tetapi di dalamnya ada nilai-nilai Islam yang jauh lebih baik daripada kita mungkin, secara keseluruhannya. Mana boleh jumpa budak punk yang sanggup membasuh rambut pacaknya untuk wuduk, kemudian salin kain pelikat dan memakai kopiah, dan seterusnya salah seorang qamat, dan seorang lagi sudah bersiap mengimamkan sembahyang; selesai sembahyang mereka berpakaian punk semula, dengan menyapu wax rambut supaya kelihatan pacak semula; itulah yang dilihat oleh abe di Kelantan. Bacalah kisahnya di sini. Allahu-akbar.

Selasa, 7 Mei 2013

Khusnul-khatimah dan suul-khatimah

Mulai 6 March yang baru lalu maka lahirlah satu golongan yang mengaku dirinya Muslim, yang akan menyara diri dan keluarganya dengan hasil penipuan jika benar dakwaan bahawa kemenangan DUN dan MP di sesetengah kawasan atas tektik penipuan; dan ini akan berlanjutan selama lebihkurang 5 tahun. Bagaimanakah nasib golongan ini jika ditakdirkan mati dalam tempoh tersebut! Entri ini bukanlah khusus untuk memperkatakan tentang penipuan pilihanraya, tetapi sekadar mengambil contoh paling hampir dengan kita tentang tajuk.
Setiap kali lepas menunaikan ibadah sembahyang, kita sering menadah tangan berdoa agar dimatikan dalam khusnul-khatimah bukan suul-khatimah. Khusnul-khatimah lebihkurang bermaksud mati dalam kebaikan, sementara suul-khatimah adalah sebaliknya. Kita juga sering diingatkan bahawa setiap doa harus diikuti dengan usaha-usaha mencapainya, jika tidak, doa akan tinggal doa sebagai angan-angan kosong.
Jika kita berdoa agar mati dalam khusnul-khatimah maka kita harus berusaha mencapainya agar doa kita menjadi suatu realiti; maka kita usahakan, dengan melakukan tindakan-tindakan yang ke arah itu - berbuat baik, sentiasa berada di jalan yang lurus (ayat 6 surah al-Fatihah); dengan kata lain jangan sekali-kali melakukan kemungkaran atau sesuatu yang tidak diredai Allah swt, kerana siapa akan tahu ketika kita melakukan kemungkaran yang sesekali kita lakukan itu, itulah masanya kita mati. Apakah program kita untuk sentiasa berada dalam kebaikan? Kita harus mempunyai sesuatu yang boleh dijadikan sandarannya, misalnya, dalam poket kita sentiasa ada wang RM2 tersimpan dalam sebuah sampul surat, yang kita bawa bersama ke mana sahaja kita pergi, dengan niat untuk kita berikan kepada yang memerlukan; selagi wang itu masih berada dalam simpanan kita bererti kita sentiasa berada dalam kebaikan, tetapi jangan pula dicampuraduk pula dengan sesuatu kemungkaran. Diandaikan kita mati, insyaAllah kita mati dalam khusnul-khatimah.
Contoh di atas tadi pula adalah suatu kemungkaran, mendapat sumber rezeki yang tidak diredai Allah swt, dan sepanjang 5 tahun itulah kita sentiasa berada di jalan yang tidak lurus, iaitu jalan yang dimurkai dan kesesatan (ayat 7 surah al-Fatihah). Jika ditakdirkan kita mati dalam tempoh itu, nauzubillah, kita mati dalam keadaan suul-khatimah. Jadi, sesiapa sahaja jika sentiasa berada di jalan yang tidak diredai Allah, akan berada dalam situasi yang sama; misalnya kita mati dalam keadaan dalam poket kita ada tiket nombor 4-digit; ini suatu kemungkaran yang ketara. Kemungkaran juga boleh jadi sesuatu yang tersimpan dalam bentuk niat dalam hati.
Entri ini saya sengaja menggunakan ayat dari surah al-Fatihah, iaitu surah yang menjadi rukun sembahyang. Semaklah apakah pengertian 7 ayat dalam surah tersebut. Setelah kita mengetahuinya, maka kita berusaha menjadikannya sebagai suatu realiti, bukan tinggal bacaan yang kosong sahaja setiap kali menunaikan sembahyang. Mengabaikannya, iaitu tidak menjadikannya sebagai suatu realiti boleh membawa kepada sembahyang kita ditolak, kerana sebuah hadis menyebut, Barangsiapa yang sembahyangnya tidak dapat menahan dari melakukan perbuatan keji dan mungkar, maka sesungguhnya sembahyang itu menyebabkan kemurkaan Allah swt dan jauh dari Allah swt. Dan dari Hassan ra, katanya Rasulullah saw pernah bersabda, Kalau sembahyang kamu itu tidak dapat menahan kamu dari melakukan perbuatan keji dan mungkar, maka sesungguhnya kamu dianggap orang yang tidak mengerjakan sembahyang; dan pada hari kiamat nanti sembahyangmu itu akan dilemparkan semula ke arah mukamu seperti satu bungkusan kain tebal yang buruk. Kedua-dua hadis ini adalah berkaitan dengan ayat 45 surah al-Ankabut,
Perbuatan keji dan mungkar adalah jalan mereka yang dimurkai dan mereka yang dalam kesesatan, yang disebut oleh ayat 7 surah al-Fatihah itu. Jadi saya simpulkan di sini bahawa sebenarnya sembahyang kita ada matlamatnya yang hendak dicapai; sebahagian daripada matlamat-matlamatnya adalah terkandung dalam ayat-ayat yang kita baca dalam sembahyang; maka jadikanlah ayat-ayat itu suatu realiti. Wallahu a'lam.

Selasa, 23 April 2013

Sembahyang mencegah kemungkaran

Tak habis-habis lagi cerita-cerita tentang keganasan dan kemungkaran politik. Saya memang tidak berkenan sama sekali perbuatan-perbuatan dan perlakuan yang tidak selari dengan semangat agama (Islam). Rumusan saya: tidak gunalah kita melaung-laungkan Islam.... Islam, kalau ini yang terjadi. Sudah pasti kesemua itu bertentangan dengan semangat ayat 6 surah al-Fatihah, Tunjukkan aku jalan yang lurus. Lantas, boleh disebutkan di sini ialah apa gunanya kita sembahyang.
Keganasan sudah pasti tidak dapat diterima oleh agama mahupun etika kehidupan manusia. Secara fitrahnya keganasan bukanlah nilai dalaman semulajadi. Dari sejak kita dilahirkan sebagai manusia, semua bangsa baik yang Islam atau bukan Islam, secara fitrahnya adalah bersama dengan nilai-nilai dalaman yang baik. Kita lihat sendiri anak kita, tanpa diajar nilai-nilai baik tetapi mereka sudah tahu erti baik dan jahat. Misalnya, seorang anak umur 4 tahun melihat seorang rakannya membuli yang lain, akan berkata, apa kata kalau orang buat awak macam tu? Kata-kata ini menunjukkan nilai dalaman dirinya, yang Allah swt sertakan bersama ketika kelahirannya, iaitu yang disebut sebagai fitrah tadi; tetapi malangnya bila sudah membesar, sesetengah anak ini menyimpang dari jalannya, menuju ke jalan yang tidak lurus, tidak dapat mengekalkan nilai-nilai tersebut. Itu sebabnya orang yang begini disebut dalam buku Islam the Natural Way sebagai orang yang tidak tunduk patuh kepada fitrah, dan dilabel sebagai orang yang tidak Islam lagi.
Sembahyang adalah tiang agama, yang bererti bukan setakat bacaan-bacaan dan pergerakan-pergerakan yang dimulai dengan takbiratul-ihram dan disudahi dengan salam sahaja; tetapi ada matlamatnya (maqasid) yang hendak dicapai. Antaranya ialah yang disebut oleh ayat 45 surah al-Ankabut itu, iaitu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar. Apakah contohnya?
Dalam bab sembahyang ada hukum yang menyebut, makruh sembahyang di laluan. Hukum ini bukan hanya digunakan ketika mendirikan sembahyang sahaja, tetapi mengajar kita erti menghalang laluan. Pintu masuk ke rumah-rumah di taman dan sebagainya adalah laluan, jadi jangan dibuat halangan walaupun kita fikir orang tidak akan lalu, laluan tetap laluan, harus dikosongkan agar tidak menyusahkan orang lain iaitu saudara kita.
Tetapi jelas ramai yang tidak mengambil iktibar dari hukum ini, yang akibatnya terjadilah seperti yang dilaporkan dalam blog-blog tentang seorang penyokong PAS meletak kenderaan sehingga menutup laluan tuan rumah yang disebut sebagai pemberita sambilan TV3 yang berusia 61 tahun itu. Ini suatu kemungkaran.
Saya berpandangan, inilah antara yang dimaksudkan oleh ayat 45 itu tadi. Jadi bagi saya, sembahyang yang tidak dapat menjauhkan kita dari perbuatan keji dan mungkar boleh ditolak, sembahyangnya tidak diterima. Wallahu-'alam.

Sabtu, 16 Mac 2013

Zuhud

Petang ini saya teringat tentang kisah syaitan yang engkar apabila disuruh menyembah Nabi Adam as, lantaran dia dijadikan daripada api, sedangkan Nabi Adam daripada tanah. Kisah ini sudah biasa kita dengar, tetapi yang ingin saya sampaikan ialah iktibarnya.
Kita lihat di sini, keingkaran syaitan itu boleh dilihat sebagai tanda ketidaksyukuran syaitan, yang diberi kelebihan berbanding kejadian Nabi Adam. Iktibar dari kisah ini ialah mengajar kita agar jangan bersikap seperti syaitan, tidak bersyukur dengan kelebihan yang kita punyai. Antara sifat orang yang begini ialah sifat jumud, dia terasa dirinya lebih daripada orang lain. Orang yang bersyukur, akan bersikap zuhud, walaupun dia lebih daripada orang lain, tetapi tidak menunjuk-nunjuk.
Seseorang yang zuhud, tidak bererti tidak boleh menikmati kekayaan yang dia ada, misalnya dia boleh sahaja mempunyai kereta mewah, rumah besar, tetapi tidak pula terasa bahawa dirinya lebih. Penampilannya tidak membuat orang lain terasa rendah diri dan menjauhkan diri, sebaliknya merasa senang bersamanya. Wallahu a'lam.

Isnin, 25 Februari 2013

Doa Sembahyang Hajat

Bismillahirrahmanirrahim.

Malam ini tadi, selepas menunaikan sembahyang Isyak berjemaah, kami mendirikan pula sembahyang hajat untuk seorang puan ibu tunggal yang diberitakan sedang sakit berada di hospital. Apa yang menarik yang hendak saya kongsikan bersama di sini ialah doanya, yang dibacakan oleh imam sembahyang merangkap penceramah kuliah pada malam ini, antara kandungan doa yang dibacakan ialah,

Ya Allah yang Maha Mengetahui, sekiranya Engkau mengira bahawa hidup baginya lebih baik, kami mohon rahmat-Mu, hidupkanlah dia, panjangkanlah umurnya, semoga dia dapat meneruskan amal solehnya, jika Engkau mengira mati baginya lebih baik, maka ambillah ia, janganlah dipanjangkan beban sakit yang ditanggungnya, dan jadikanlah amal baktinya penebus dosa-dosanya, ....

Apa yang menarik dalam doa ini:
1. Doa sembahyang hajat selalunya dipohonkan agar dipulihkan dari penyakitnya, dengan kata lain agari dipanjangkan umurnya, tetapi di sini doanya lebih realisktik, kerana diminta mengambilnya sekiranya matinya lebih baik.
2. Sepertimana kita membaca surah Yasin untuk pesakit, sepatutnya tujuannya adalah seperti yang disebut dalam doa itu, malangnya ramai yang bertanggapan doa dari bacaan Yasin itu adalah untuk minta agar cepat mati sahaja; malah lebih malang lagi ada antara ahli keluarga yang berkenaan bangkit rasa marah mengapa dibacakan Yasin untuk si sakit, yang pada tanggapannya, engaku suruh dia cepat mati ke?

Sembahyang hajat bertujuan untuk memohon pertolongan kepada-Nya, seperti yang disebut dalam bahagian kedua ayat 5 surah al-Fatihah yang kita baca tujuh belas kali sehari (paling kurang) itu, yang maksudnya Dan hanya kepada Engkau-lah kami memohon pertolongan itu. Jadi ketika mendirikan sembahyang hajat seperti malam ini, kita harus lebih menekankan maksud ayat ini; kemudian diperkuatkan lagi permohonan kita dalam rakaat kedua (jika kita membaca surah al-Ikhlas), ketika membaca ayat 2-nya.

Semoga Allah memperkenankan hajat kami malam ini. Amiin.

Rabu, 9 Januari 2013

Surah al-Fatihah

Cara membaca surah al-Fatihah.
Membaca fatihah adalah rukun qauli, dan wajib dibaca pada tiap-tiap rakaat sembahyang, sama ada sembahyang fardu atau sembahyang sunat. Ramai antara kita membacanya tidak mengikut makna ayat-ayat di dalamnya.

Surah al-Fatihah terdiri daripada 7 ayat, yang terbahagi kepada 3 tema mengikut maknanya: ayat 1 hingga 4 temanya adalah untuk Allah swt; ayat 5 terbahagi kepada dua pula, sebahagiannya untuk Allah swt dan sebahagian lagi untuk manusia; manakala ayat 6 dan 7 adalah untuk manusia sepenuhnya.
Yang dimaksudkan tema untuk Allah swt itu ialah bahawa ayat-ayat tersebut adalah untuk menerangkan sifat-sifat Allah swt, Allah Yang Maha Agung, Maha Kuasa, dan mempunyai sifat-sifat yang Maha Pemurah dan Maha Pengasih, dan menguasai hari pembalasan; manakala untuk manusia pula bermaksud ayat-ayat berkenaan menerangkan tentang manusia, bahawa manusia ini meminta petunjuk jalan yang lurus, jalan yang telah diikuti oleh mereka yang telah mendapat nikmat (syurga), bukan jalan mereka yang dimurkai dan yang sesat. Bahagian kedua ayat 5 itu dikatakan untuk manusia kerana maksudnya ialah manusia meletakkan kebergantungan hidup, rezeki, qada’ qadar, keselamatan, kesejahteraan, dijauhkan daripada syaitan, dan sebagainya hanya kepada Allah swt jua, tidak yang lain, yang sebelum ini kita berikrar hanya kepada-Nya yang berhak disembah, iaitu untuk Allah.
Dengan tiga bahagian ini sepatutnya bacaan kita biarlah yang menepati maksudnya, misalnya, jika kita membacanya dengan tiga nafas, maka kita gunakan satu nafas untuk ayat 1 hingga 4, satu nafas lagi hanya untuk ayat 5, dan satu nafas lagi untuk ayat 6 dan 7; atau jika kita menggunakan nada suara, maka kita gunakan nada-nada yang berlainan untuk ketiga-tiga bahagian itu.
Kesalahan yang sering kita dengar, dan yang kita sendiri amalkan ialah apabila membaca ayat 5 dan ayat 6 diletakkan dalam satu tema: sama ada dengan menggunakan satu nafas, atau satu pakej nada suara untuk ayat-ayat berkenaan. Bagi orang yang mendengarnya, akan menganggap bahawa orang berkenaan tidak faham erti dan maksud ayat-ayat tersebut.
Kesilapan ini dilakukan oleh kebanyakan orang, bukan hanya orang awam yang kebanyakannya memang tidak tahu makna ayat-ayat surah al-Fatihah itu, tetapi juga oleh orang yang mahir tajwid, dan yang biasa mengimamkan sembahyang di masjid atau surau. Wallahu a’lam.

Rabu, 14 November 2012

Hijrah: Pengertianku

Selamat menyambut tahun baru Hijrah 1434. Semoga tahun ini akan membawa kita kepada suatu lorong jalan hidup yang menepati pengertian hijrah.
Bagi saya pengertian hijrah adalah melakukan anjakan jalan hidup dari yang sedia ada kepada yang lebih baik. Berlebih-lebih lagi bagi saudara-saudara kita yang baru balik dari tanah suci Mekah. Bertepatan dengan kepulangan yang disambut pula dengan kedatangan tahun baru hijrah ini, mari kita lakukan suatu anjakan cara hidup kita dari keadaannya sebelum kita bertolak ke Mekah dahulu kepada suatu keadaan yang lebih baik, sejajar dengan semangat haji yang baru kita tunaikan.
Anjakan itu pula biarlah yang meliputi tuntutan yang hablumminallah dan hablumminannas sekali gus, bukan salah satu sahaja, kerana Yusuf al-Qaradhawi menyatakan, wasatiyah yang sihat adalah yang seimbang antara kedua-dua tersebut, jika dilakukan hanya lebih kepada soal-soal hablumminallah (keTuhanan) sahaja itu bukanlah sifat wasatiyah yang dikehendak oleh syariat Islam. Tentang soal ini, saya selalu membandingkan bagaimana perjalanannya kalau sesebuah kereta kancil misalnya, jika dua daripada rodanya ditukar dengan dua roda basikal, sama ada di sebelahnya atau di depannya. Barangkali inilah maksud Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi.
Saya ambil satu contoh semangat haji. Ketika ihram kita diharamkan membunuh binatang dan merosakkan tumbuhan, apakah maksudnya? Semangat atau roh bagi hukum ini ialah larangan merosakkan alam sekitar: binatang dan tumbuhan adalah ikon kepada alam sekitar. Jika kita sedia mematuhinya ketika memakai ihram dulu, mengapa pula tidak diteruskan kepatuhan kita sekembalinya ke tanah air, dan kita jadikan amalan sepanjang hidup kita sebagai seorang haji.
Banyak lagi semangat haji yang harus kita sedari dan kita jadikan panduan membuat amal soleh. Dalam buku Ke Arah Haji Yang Mabrur, tulisan Hj Mohamad Lamin, yang baru diterbitkan oleh Telaga Biru Sdn. Bhd., ada memberikan contoh-contoh amalan yang hablumminannas.
Haji yang mabrur adalah yang dapat mengubah sikap. Wallahu a'lam.