Rabu, 14 November 2012

Hijrah: Pengertianku

Selamat menyambut tahun baru Hijrah 1434. Semoga tahun ini akan membawa kita kepada suatu lorong jalan hidup yang menepati pengertian hijrah.
Bagi saya pengertian hijrah adalah melakukan anjakan jalan hidup dari yang sedia ada kepada yang lebih baik. Berlebih-lebih lagi bagi saudara-saudara kita yang baru balik dari tanah suci Mekah. Bertepatan dengan kepulangan yang disambut pula dengan kedatangan tahun baru hijrah ini, mari kita lakukan suatu anjakan cara hidup kita dari keadaannya sebelum kita bertolak ke Mekah dahulu kepada suatu keadaan yang lebih baik, sejajar dengan semangat haji yang baru kita tunaikan.
Anjakan itu pula biarlah yang meliputi tuntutan yang hablumminallah dan hablumminannas sekali gus, bukan salah satu sahaja, kerana Yusuf al-Qaradhawi menyatakan, wasatiyah yang sihat adalah yang seimbang antara kedua-dua tersebut, jika dilakukan hanya lebih kepada soal-soal hablumminallah (keTuhanan) sahaja itu bukanlah sifat wasatiyah yang dikehendak oleh syariat Islam. Tentang soal ini, saya selalu membandingkan bagaimana perjalanannya kalau sesebuah kereta kancil misalnya, jika dua daripada rodanya ditukar dengan dua roda basikal, sama ada di sebelahnya atau di depannya. Barangkali inilah maksud Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi.
Saya ambil satu contoh semangat haji. Ketika ihram kita diharamkan membunuh binatang dan merosakkan tumbuhan, apakah maksudnya? Semangat atau roh bagi hukum ini ialah larangan merosakkan alam sekitar: binatang dan tumbuhan adalah ikon kepada alam sekitar. Jika kita sedia mematuhinya ketika memakai ihram dulu, mengapa pula tidak diteruskan kepatuhan kita sekembalinya ke tanah air, dan kita jadikan amalan sepanjang hidup kita sebagai seorang haji.
Banyak lagi semangat haji yang harus kita sedari dan kita jadikan panduan membuat amal soleh. Dalam buku Ke Arah Haji Yang Mabrur, tulisan Hj Mohamad Lamin, yang baru diterbitkan oleh Telaga Biru Sdn. Bhd., ada memberikan contoh-contoh amalan yang hablumminannas.
Haji yang mabrur adalah yang dapat mengubah sikap. Wallahu a'lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan