Selasa, 23 April 2013

Sembahyang mencegah kemungkaran

Tak habis-habis lagi cerita-cerita tentang keganasan dan kemungkaran politik. Saya memang tidak berkenan sama sekali perbuatan-perbuatan dan perlakuan yang tidak selari dengan semangat agama (Islam). Rumusan saya: tidak gunalah kita melaung-laungkan Islam.... Islam, kalau ini yang terjadi. Sudah pasti kesemua itu bertentangan dengan semangat ayat 6 surah al-Fatihah, Tunjukkan aku jalan yang lurus. Lantas, boleh disebutkan di sini ialah apa gunanya kita sembahyang.
Keganasan sudah pasti tidak dapat diterima oleh agama mahupun etika kehidupan manusia. Secara fitrahnya keganasan bukanlah nilai dalaman semulajadi. Dari sejak kita dilahirkan sebagai manusia, semua bangsa baik yang Islam atau bukan Islam, secara fitrahnya adalah bersama dengan nilai-nilai dalaman yang baik. Kita lihat sendiri anak kita, tanpa diajar nilai-nilai baik tetapi mereka sudah tahu erti baik dan jahat. Misalnya, seorang anak umur 4 tahun melihat seorang rakannya membuli yang lain, akan berkata, apa kata kalau orang buat awak macam tu? Kata-kata ini menunjukkan nilai dalaman dirinya, yang Allah swt sertakan bersama ketika kelahirannya, iaitu yang disebut sebagai fitrah tadi; tetapi malangnya bila sudah membesar, sesetengah anak ini menyimpang dari jalannya, menuju ke jalan yang tidak lurus, tidak dapat mengekalkan nilai-nilai tersebut. Itu sebabnya orang yang begini disebut dalam buku Islam the Natural Way sebagai orang yang tidak tunduk patuh kepada fitrah, dan dilabel sebagai orang yang tidak Islam lagi.
Sembahyang adalah tiang agama, yang bererti bukan setakat bacaan-bacaan dan pergerakan-pergerakan yang dimulai dengan takbiratul-ihram dan disudahi dengan salam sahaja; tetapi ada matlamatnya (maqasid) yang hendak dicapai. Antaranya ialah yang disebut oleh ayat 45 surah al-Ankabut itu, iaitu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar. Apakah contohnya?
Dalam bab sembahyang ada hukum yang menyebut, makruh sembahyang di laluan. Hukum ini bukan hanya digunakan ketika mendirikan sembahyang sahaja, tetapi mengajar kita erti menghalang laluan. Pintu masuk ke rumah-rumah di taman dan sebagainya adalah laluan, jadi jangan dibuat halangan walaupun kita fikir orang tidak akan lalu, laluan tetap laluan, harus dikosongkan agar tidak menyusahkan orang lain iaitu saudara kita.
Tetapi jelas ramai yang tidak mengambil iktibar dari hukum ini, yang akibatnya terjadilah seperti yang dilaporkan dalam blog-blog tentang seorang penyokong PAS meletak kenderaan sehingga menutup laluan tuan rumah yang disebut sebagai pemberita sambilan TV3 yang berusia 61 tahun itu. Ini suatu kemungkaran.
Saya berpandangan, inilah antara yang dimaksudkan oleh ayat 45 itu tadi. Jadi bagi saya, sembahyang yang tidak dapat menjauhkan kita dari perbuatan keji dan mungkar boleh ditolak, sembahyangnya tidak diterima. Wallahu-'alam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan