Gangguan Dalam Sembahyang

Mengganggu orang sembahyang hukumnya haram, seperti yang disebut dalam kitab Sabilul-muhtadin.
(Dan haram) atas tiap-tiap seorang membaca dengan nyaring yang di luar sembahyang atau di dalam sembahyang jika sangat memberi tasywisy ia akan orang yang sembahyang, atau membaca Quran atau yang mentelaah kitab atau yang tidur atau barang sebagainya.’ (Sabilul-muhtadin, 247)
Nyaring bermaksud kuat. Jadi petikan ini menyatakan haram membaca kuat sehingga menyebabkan seseorang lain yang sembahyang ragu-ragu dengan bacaannya disebabkan gangguan ini. Gangguan suara ini, sama ada bunyi bacaan oleh makmum sebelah, atau mereka yang membaca Quran, mengulangkaji kitab, dengkuran orang tidur, dan sebagainya. Pendek kata, haram membuat sebarang bunyi yang boleh mengganggu orang sembahyang. Ini termasuklah bersembang, bercakap di telefon dan sebagainya.
Walaupun petikan ini menyentuh tentang gangguan bunyi, kita harus mengambil iktibar bahawa membuat sebarang gangguan terhadap orang yang sedang sembahyang adalah haram. Daripada Muslim, diriwayatkan,
Kerana Malaikat merasa terganggu dengan sesuatu yang dapat mengganggu manusia.’ (Ensiklopedi Shalat, 370)
Maksudnya, apa yang boleh mengganggu manusia akan mengganggu malaikat juga.

Gangguan bau
Disebutkan oleh al-Bukhari dalam kitab al-Adzaan,
Barang siapa makan bawang merah atau bawang putih atau daun bawang, hendaklah dia tidak mendekati masjid kami kerana Malaikat merasa terganggu oleh apa yang dapat mengganggu anak cucu Adam (manusia).’ (Ensiklopedi Shalat, 371)
Dari Jabir bin Abdullah, menyebutkan bahawa Rasulullah bersabda,
Barang siapa makan bawang putih atau bawang merah, hendaklah dia menjauh diri dari kami atau menjauhi masjid kami dan hendaklah ia duduk di rumahnya sahaja.’ (Ensiklopedi Shalat, 370)
Hadis ini menunjukkan Rasulullah s.a.w. melarang keras orang-orang yang makan bawang dari bersama Nabi, dan dilarang juga memasuki masjid. Larangan ini berpunca daripada bau yang terbit dari bawang mentah, sama ada bawang merah atau bawang putih. Betapa kerasnya larangan ini sehingga disebut agar duduk di rumahnya sahaja.
Kita ke masjid dengan tujuan untuk sembahyang berjemaah, yang hukumnya hanya sunat sahaja. Tetapi membuat gangguan dengan bau seperti yang terbit dari mulut, hukumnya haram. Jadi apalah ertinya! Itu sebab diberitahu agar sembahyang di rumah sahaja. Ini menunjukkan betapa gawatnya keadaan yang timbul dari bau mulut. Itu sebabnya kita disunatkan bersugi iaitu membersihkan mulut sebelum pergi berjemaah. Sebuah hadis dari Abu Hurairah r.a.h. Rasulullah s.a.w. bersabda, yang maksudnya,
Kalau tidaklah akan menyusahkan umatku, akan ku suruh mereka bersugi pada tiap-tiap waktu ketika berwuduk.’ (Riwayat Ahmad)
Ungkapan akan ku suruh dalam hadis ini menunjukkan, bersugi atau membersihkan mulut, merupakan suatu amalan yang hampir-hampir diwajibkan. Dari Aishah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda,
'Bersugi itu membersihkan mulut dan menggembirakan Tuhannya.’ (Riwayat Baihaqi)


Iktibar
Iktibar dari hukum ini ialah jangan membuat gangguan. Di sini ialah gangguan bau. Jadi dalam hidup bermasyarakat, berjiran, sama ada dengan orang-orang Islam lain apalagi jika yang belum Islam, harus kita jaga. Jadi apa sahaja yang boleh menimbulkan gangguan bau harus dielakkan, jangan sampai mengganggu jiran. Jika kita ambil iktibar ini, maka terbuktilah firman Allah s.w.t. dalam ayat 45 surah al-Ankabut,
'Dan dirikanlah sembahyang, sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar.'
Ini adalah satu daripada perkara yang menjadi perhatian mereka yang belum Islam
Gangguan bau boleh juga terbit daripada pakaian kita. Pakaian yang kotor adalah antara punca yang menimbulkan bau. Kotor bukan hanya disebabkan oleh ain atau ada benda-benda kotor seperti tercalit tanah, terpercik kuah dan sebagainya. Pakaian yang berbau juga dikira kotor.
Baju yang sudah dipakai dua tiga kali, dan yang sudah terkena peluh yang berat, juga menimbulkan bau. Bau ini berpunca daripada aktiviti mikrob yang menguraikan peluh kita. Hasil penguraian peluh ini menghasilkan sebatian-sebatian yang mengandungi ammonia, yang menjadi punca berbau. Jadi, percayalah, baju yang sudah pernah dibasahi peluh yang berat, walaupun hanya di bahagian ketiak misalnya, akan menimbulkan bau. Orang yang memakainya selalunya tidak sedar, tetapi amat dirasai oleh orang lain.
Bagaimana pula halnya dengan bau dari minyak atar? Tidak dinafikan memang ramai yang tidak suka dengan bau minyak ini, baik orang Melayu Islam sendiri mahupun orang yang bukan Islam. Wallahu-a’alam. Jadi apa juga bau dan apakah puncanya, yang tidak digemari ramai, adalah mengganggu. Mengelakkannya adalah suatu yang dikira mencegah kemungkaran.