Muhammad Rasulullah s.a.w.

Antara asas penting dalam keimanan kepada para nabi a.s adalah beritikad atau berkeyakinan penuh bahawa mereka manusia dan bersifat dengan sifat-sifat kemanusiaan atau ciri-ciri keinsanan (tabai’ basyariyyah). tidak bersifat dengan sifat-sifat ketuhanan atau malaikat, atau makhluk super power yang berlainan dari insan yang bersifat manusia.

Iktikad atau keyakinan ini diwajibkan oleh al-Quran dan al-Sunnah untuk seorang muslim tanamkan dalam keimanan mereka. Firman Allah: (maksudnya)
'Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu; Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah dia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya'.(Surah al-Kahf: 110).
Juga firmanNya: (maksudnya)
'Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengutus rasul-rasul sebelummu, dan Kami jadikan untuk mereka isteri-isteri dan zuriat keturunan. Dan tiadalah sebarang kuasa bagi seseorang Rasul untuk mendatangkan sesuatu mukjizat melainkan dengan izin Allah. Tiap-tiap satu tempoh dan waktu ada baginya ketetapan.' (Surah al-Ra’d: 38).
Banyak lagi nas-nas al-Quran yang menegaskan hal ini.
Firman Allah: (maksudnya)

'Dan mereka berkata: “Kenapa dengan Rasul ini ? dia makan minum dan berjalan di pasar-pasar (seperti manusia yang lain)? Sepatutnya diturunkan malaikat kepadanya, supaya malaikat itu turut memberi peringatan dan amaran bersama-sama dengannya.' (Surah al-Furqan: 7).
Namun, Allah membantah cara fikir mereka ini dengan menjawab: Katakanlah (wahai Muhammad):
Mengapakah al-Quran menekankan ciri ini? Demikian juga mengapakah Rasulullah s.a.w sentiasa menekan asas akidah ini? Sebabnya yang utama, demi memelihara tauhid atau akidah kepada Allah supaya hanya Dia Yang Maha Berkuasa dan layak untuk disembah. Manusia apabila tidak dikawal oleh akidah sebegini akan mengheret mereka memuji dan mengagungkan para rasul melebihi batasan yang sepatutnya.
Baginda juga mengingatkan kita:
“Jangan kamu memujiku berlebihan seperti Kristian berlebihan memuji Isa bin Maryam. Aku hanya seorang hamba Allah. Katakanlah: “Hamba Allah dan rasulNya” (al-Bukhari).
Kata al-Syeikh ‘Ali al-Tantawi ketika mengulas sifat-sifat para rasul a.s.:
“Para rasul kesemuanya manusia. Mereka dilahirkan seperti mana dilahirkan manusia, mereka mati seperti mana manusia mati, mereka sakit dan sihat seperti mana manusia sakit dan sihat. Mereka tidak berbeza dengan manusia pada bentuk tubuh badan dan anggota, tidak pada perjalanan darah dan pergerakan jantung. Mereka makan dan minum seperti mana manusia makan dan minum. Tidak pada mereka sedikit pun unsur uluhiyyah (ketuhanan), kerana ketuhanan untuk Allah semata. Namun mereka adalah manusia yang telah diwahyukan kepada mereka” (Ali al-Tantawi, Ta’rif ‘Am bi din al-Islam, m.s. 161, Mesir: Dar al-Wafa).
Namun, ajaiban al-Quran terus disingkap dari zaman ke zaman. Maka, hendaklah para pendakwah dalam menceritakan tentang kerasulan menegaskan tentang ciri keinsanan Nabi Muhammad s.a.w dan kesinambungan mukjizat al-Quran. Fokuslah mukjizat al-Quran yang terus mencerahkan akal dan menegakkan hujah kebenaran. Mukjizat lain, sekadar hanya menjadi riwayat sahaja.


Demikian ringkasan kepada tulisan Dr Maza dalam blognya http://drmaza.com/home/?p=1032
Saya turunkan di sini agar saya dapat merujuknya kembali dengan kadar lebih segera. Dengan izin.