SOP Sembahyang

Di samping kita memenuhi rukun-rukun sembahyang, ada pula perkara-perkara lain yang sewajarnya kita sempurnakan walaupun ianya hanya sunat. Contohnya, bagaimana cara kita berdiri, sujud, dan bagaimana pula keadaan tangan kita sepanjang kita melakukan sembahyang.
Perkara ini walaupun hanya sunat sahaja, namun tidaklah sukar melaksanakannya. Di samping menjaga syarat-syarat sah sembahyang, ada baiknya kita cantikkan lagi sembahyang kita dengan mengamalkan perkara-perkara yang hanya dikira sunat ini. Tidakkah meninggalkan perkara-perkara sunat itu hukumnya Makruh, dan tidak disukai Allah.

Takbir Intiqal
Setiap sembahyang dimulakan dengan lafaz Allahu-Akbar. Kalimah Allahu-Akbar ini dinamakan takbir. Takbir yang pertama, ketika memulakan sembahyang dinamakan Takbiratul-ikhram. Namun kalimah yang sama juga akan disebut berulang-ulang sepanjang sembhyang kita. Tetapi lafaz Allahu-Akbar yang kedua dan seterusnya ini pula dinamakan Takbir Intiqal.

Takbiratul-ikhram adalah rukun sembahyang. Tidak sah sembahyang jika tidak mengangkat Takbiratul-ikhram. Sabda Nabi yang ertinya, Bermula takhrim sembahyang itu takbir dan takhlilnya itu salam.(194:24)
Dan lagi, Apabila berdiri engkau kepada sembahyang maka takbirlah engkau.(194:25)

Lafaz ini dinamakan takbiratul-ikhram kerana dengan lafaz itu seseorang yang sembahyang itu mengharamkan dirinya dari melakukan perkara-perkara yang membatalkan sembahyang, walaupun dalam kehidupan sehariannya perkara-perkara itu adalah halal.
Tujuan lafaz Takbiratul-ikhram adalah sebagai pengakuan bahawa Allah Maha Besar dan bersedia berkhidmat kepadaNya dengan khusuk. Itulah sebabnya selepas takbir ini kita diminta menyebutnya lagi setiap kali melakukan pergerakan menukar rukun sembahyang. Tetapi lafaz ini dinamakan Takbir intiqal, bertujuan supaya kita sentiasa berada dalam keadaan khusyuk sepanjang kita melakukan sembahyang, seolah-olah kita sedang berada di hadapanNya.
Dan kerana inilah dituntut kemudiannya segala Takbir Intiqal supaya kekal baginya dengan khusyuk.


Prosedur:


Lafaz Allahu-akbar untuk Takbir intiqal hendaklah disebut ketika bergerak untuk menukar rukun.
(Dan disunatkan)bagi tiap-tiap yang sembahyang mengucap Takbir Intiqal yakni takbir kerana berpindah daripada satu rukun kepada rukun yang lain (210:23).


Dengan kata lain, lafaznya hendaklah diucapkan ketika bergerak antara dua rukun.
Maka hendaklah ia takbir tatkala berpindah kepada rukuk dan sujud dan tatkala berpindah daripada sujud kepada duduk atau berdiri atau daripada tasyhud awal kepada berdiri (210:24).


Lafaz Allahu-akbar itu hendaklah disebut sepanjang pergerakan antara dua rukun. Contoh, dari berdiri kepada rukuk, lapaz Allahu-akbar bermula sebaik sahaja mula bergerak, dan berhenti pada saat-saat akhir pergerakan iaitu sebelum masuk rukuk. Jadi ucapan Takbir intiqal itu berpanjangan sepanjang pergerakan menukar rukun. Kitab berkenaan menyebut, Dan sunat memulai takbir intiqal itu pada permulaan tunduknya kepada rukuk atau sujud atau permulaan bangkitnya daripada tasyhud awal(210:26),
Dan lagi, ... dan sunat melanjutkan takbir intiqal itu pada lam al-jalalah hingga sampai kepada rukun yang kemudian(210:27). Dengan kata lain, lafaz Takbir intiqal itu hendaklah diselesaikan ketika bergerak menukar rukun. Kalimah ‘bar’ bagi akbar itu mestilah serentak dengan habisnya pergerakan tersebut. Jadi tidak wajar ucapan Allahu-akbar atau sebahagiannya diucapkan setelah masuk rukun berikutnya.


Tambahan pula, dalam rukun-rukun panjang seperti rukuk, sujud, duduk antara dua sujud, duduk tahyat akhir, sudah ditentukan bacaan yang khusus untuknya. Bacaan untuk rukuk contohnya, ialah Subhana-rabial-‘azimi-wabihamdih(sunat 3x). Jadi tidaklah wajar bacaan itu bertambah pula dengan ucapan Allahu-akbar di dalamnya, umpamanya, sudah rukuk, baru hendak melafazkan Allahu-akbar. Ini menyebabkan bacaan dalam rukuk tadi menjadi, Allahu-akbar, Subhana-rabial-‘azimi-wabihamdih. Atau sebahagian dari lafaz Takbir intiqal yang belum selesai, seperti akbar, subhana-rabial-‘azimi-wabihamdih (bacaan rukuk sudah ditambah dengan lafaz akbar). Tegasnya, lafaz Allahu-akbar itu hendaklah diselesaikan sebelum rukuk.
Begitu juga dengan bacaan-bacaan bagi rukun-rukun panjang yang lain, tidaklah wajar ditambah dengan lafaz Allahu-akbar untuk Takbir intiqal atau sebahagiannya. Tegasnya, lafaz Allahu-akbar bagi Takbir intiqal tidaklah wajar diucapkan bersama bacaan-bacaan khusus bagi sesuatu rukun panjang. Seperti yang telah disebutkan di atas tadi, lafaz Takbir intiqal hendaklah diucapkan ketika dalam pergerakan untuk menukar rukun sahaja.
Jika lafaz Allahu-akbar bagi Takbir intiqal diucapkan di dalam rukun berikutnya, maka terjadilah suasana sunyi ketika pergerakan menukar rukun. Jadi hilanglah fungsi Takbir intiqal. Kitab Sabilul-muhtadin menyebut, Dan jika duduk istirahat ia sekalipun supaya tiada sunyi satu suku daripada sembahyangnya pada zikir melainkan pada i’tidal maka hendaklah dibaca (sami’-Allahuliman hamidah) (210:29). Sehubungan ini, satu contoh, umpamanya, ketika menukar rukun dari berdiri kepada sujud, jika Takbir intiqal dilafaz ketika sudah sujud, maka pergerakan kita ke arah sujud adalah dalam suasana sunyi. Sedangkan fungsi Takbir intiqal seperti yang telah disebutkan di atas ialah untuk mengelakkan suasana sunyi ketika menukar rukun.


Apa yang dibicarakan di sini hanyalah sesuatu amalan yang sunat. Tidaklah batal sembahyang jika prosedurnya tidak diikuti. Tetapi implikasinya amat besar bagi orang masbuk. Contoh: ketika imam dan makmum sedang rukuk, ada seorang yang masbuk. Sebaik sahaja dia mengangkat Takbiratul-ihram, dia pun segera rukuk. Tetapi kerana imam melafazkan Takbir Intiqal setelah ia berdiri, maka disangka oleh orang itu tadi bahawa dia sempat rukuk bersama imam, berpandukan lafaz Takbir Intiqal imam yang didengarnya. Sedangkan apa yang berlaku ialah dia sebenarnya tidak sempat rukuk bersama imam. Jika ini berlaku bagi sembahyang maghrib, 3 rakaat, maka si yang masbuk tadi sebenarnya hanya sembahyang maghrib 2 rakaat, atas sebab kekeliruan pada rakaat pertamanya tadi. Jadi sembahyang si orang yang masbuk itu tidak sah.
Satu implikasi lagi ialah, jika Takbir Intiqal ini dilakukan dengan cara yang tidak betul akan menunjukkan sama ada kita belajar atau tidak.